❌ Jangan Bagi Panadol Pada Kucing: Kisah Sebenar Keracunan Paracetamol Yang Hampir Meragut Nyawa Oyen
“Doktor, kucing makcik demam semalam, makcik bagi panadol. pagi tadi tengok muka bengkak pulak"
Pelanggan pertama saya hari tu, seorang makcik, usianya anggaran 50-an. tinggal dirumah bersama suami, anak-anak semua sudah berkeluarga. Peneman mereka dirumah adalah si gendut, Oyen(bukan nama sebenar).
Oyen, kucing oren itu diletakkan atas meja dari gendongan makcik tadi. melihat pada muka bulat penuh itu, saya sudah boleh mengagak apa yang berlaku. Sangat tipikal simptom yang saya nampak.
"Awat oyen ni makcik? cuba cerita kat saya." saya pandang lembut pada muka wanita itu.
"Petang kemarin, makcik panggil dia makan, dia diam ja, dia nampak lemah. Tak nak makan, nafas laju, air liur meleleh sikit. Makcik panik. Makcik rasa badan dia panas, makcik bagi dia panadol, separuh biji ya laa hat pink, hat budak tu.
Pagi tadi, makcik tengok muka macam ni dah, ni makcik bawak mai, tunggu hangpa buka" Makcik bercerita penuh perasaan dengan loghat utara pekat. (Kelmarin di utara maksudnya semalam). Memang tepat jangkaan saya tadi, yang kucing ini sudah diberi panadol.
Muka Oyen bengkak teruk, bibir serta gusi dia kebiruan macam tak cukup oksigen. Kaki depan bengkak, badan dia sangat lemah. Dia tak boleh bangun, hanya tercungap-cungap.
“Ini klasik kes keracunan paracetamol. Dos sekecil itu pun dah cukup untuk buat kucing bengkak biru.”
Saya teruskan rawatan dengan bagi N-acetylcysteine (antidot), cecair IV, dan oksigen.
Selepas stabilkan Oyen, saya bercakap semula dengan makcik.
"Makcik, saya nak habaq ni, kucing tak boleh makan panadol. dia jadi racun kat kucing. sebab badan kucing tak boleh proses panadol tu macam kita"
Makcik hanya diam, nampak matanya bertakung.
"Takpa makcik, kita cuba yang terbaik. InsyaAllah, kalau badan dia kuat, dia boleh lawan. Makcik taktau yang panadol tu bahaya untuk kucing, makcik tak sengaja, tak apa. yang penting, la ni kita cuba selagi dia masih berusaha. kita support dengan air dalam darah (IV Fluid) juga. Makcik doa banyak banyak naa"
---
Edukasi
Apa yang berlaku dalam badan Oyen? Kucing tak ada enzim yang cukup untuk pecahkan paracetamol (acetaminophen). Bahan tu bertukar jadi toksik, serang sel darah merah (sebab tu gusi biru & nafas susah), kemudian hancurkan hati dengan cepat.
Dalam 4–12 jam: Sel darah merah pecah → oksigen tak sampai ke organ.
Dalam 1–3 hari: Hati rosak teruk → kuning mata, muntah darah, koma.
Tanpa rawatan awal: Kucing boleh mati dalam 24–72 jam.
Tanda bahaya (jangan tunggu semua muncul!):
• Muka/bibir/kaki bengkak
• Gusi pucat / kebiruan / coklat
• Air liur meleleh berlebihan
• Nafas laju / tercungap
• Lemah, tak nak gerak, tak makan
• Muntah, air kencing gelap
Apa kena buat kalau tersalah bagi? JANGAN tunggu. JANGAN bagi susu/tepung arang sendiri. Terus bawa ke klinik veterinar 24 jam, masa adalah nyawa.
Kesimpulan yang paling penting (tolong simpan & sebarkan):
Jangan bagi Panadol
Jangan agak-agak dos
Jangan fikir “kecil je tak apa”
Tanya doktor veterinar untuk ubat sakit yang selamat.
(contoh: meloxicam khas kucing)
Simpan nombor klinik vet terdekat anda
Sebarkan cerita ni, boleh selamatkan nyawa kucing orang lain
---
Selepas dua hari dengan monitoring yang rapi, Oyen nampak lebih baik. Muka dia nampak runcing balik, lidah dan gusi sudah tidak biru macam hari pertama.
saya sangat sangat terharu nampak sepasang suami isteri yang sangat penyayang peluk penuh kasih si oyen masa hari discaj. Saya nampak makcik mengelap air mata kesyukuran bila Oyen selamat.
"Terima kasih, doktor" suara makcik antara dengar tak dengar diselang esak kecil. Allahuu, terus saya terbayang mak ayah saya di kampung.
---
Kalau ada kucing, tag kawan-kawan yang ada kucing. Awareness ni bukan untuk takutkan, tapi untuk selamatkan nyawa.
Disclaimer: Cerita ini telah dipermudahkan penyampaiannya supaya mesej awareness dapat disampaikan dengan lebih jelas dan mudah difahami.
