Gambar 1.0 Anak kucing bermain bersama ibunya
Pemandulan merupakan salah satu prosedur yang disediakan di kebanyakan klinik haiwan dalam menjaga kebajikan Si Comel. Tuah pasti masih ramai Mommy dan Daddy diluar sana yang merasakan pemandulan merupakan sesuatu yang menyakitkan untuk Si Comel tersayang. Betul ke?
Sebenarnya terdapat pelbagai kelebihan dalam pemandulan haiwan kesayangan lebih-lebih lagi kucing. Mommy dan Daddy nak tahu apakah kelebihannya? Terus membaca artikel ini sehingga habis ya!
Sebelum kita pergi dengan lebih lanjut, jom kenali dahulu apakah maksud pemandulan;
MAKSUD PEMANDULAN
Mandul atau kasi atau kembiri membawa maksud pembuangan organ reproduktif bagi mengelakkan kucing untuk membiak.
Buang organ?
Ya, organ pembiakan kucing akan dibuang dan proses ini adalah bersifat kekal. Prosedur pemandulan juga adalah berbeza mengikut jantina.
KENAPA PERLU MANDUL?
Seekor kucing betina boleh beranak daripada 3 ekor sehingga 7 ekor anak dalam satu-satu masa kelahiran. Ianya juga kembali subur dalam tempoh 3 bulan selepas kelahiran pertama. Cuba anda bayangkan berapa ekor anak kucing dilahirkan dalam tempoh setahun sekiranya ibu kucing tidak dikasi.
Jumlah kelahiran kucing yang tidak dikawal juga mempengaruhi perkara-perkara lain seperti kebajikan kucing, penjagaan kesihatan kucing serta mengganggu jiran-jiran kerana tabiat ‘menanda’ daripada kucing yang tidak dikasi terutamanya kucing jantan.
APAKAH HUKUM PEMANDULAN KUCING?
Hukum pemandulan kucing mengikut Islam adalah harus. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan satu ketetapan pada tahun 2002 iaitu;
‘Bahawa mengembiri binatang kesayangan seperti kucing atau anjing adalah diHARUSkan dengan sebab-sebab tertentu iaitu bagi menjaga kemaslahatan ummah.’
KELEBIHAN PEMANDULAN KUCING
Selain daripada menjamin kualiti hidup kucing lebih baik selepas dimandulkan, pemandulan juga dapat mengawal populasi kucing dalam kawasan setempat (Pemandulan tidak akan menyebabkan kucing menjadi pupus ya!). Pemandulan juga dapat mengurangkan sifat agresif dalam kalangan kucing. Namun begitu terdapat juga beberapa kelebihan lain pemandulan kucing mengikut jantina;
Kelebihan pemandulan kucing jantan:
-
Mengurangkan risiko penyakit berjangkit serta kanser testis
-
Mengurangkan sifat menanda kawasan / marking
Kelebihan pemandulan kucing betina:
-
Mengurangkan risiko jangkitan pada ambing susu
-
Mengurangkan risiko kanser rahim/rahim bernanah (pyometra)
Gambar 2.0 Rahim yang telah dibawa keluar akibat pyometra
Disini Mommy dan Daddy semua boleh melihat pelbagai kelebihan sekiranya pemandulan kucing dilakukan. Jadi, bagaimana? Bersedia untuk menghantarkan kucing untuk dimandulkan?
Sebelum itu, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi sebelum pemandulan dilakukan. Mommy dan Daddy boleh rujuk disini bagi syarat-syarat pemandulan Si Comel.
BAGAIMANA PEMANDULAN DILAKUKAN?
Mommy dan Daddy perlu tahu bahawasanya pemandulan dilakukan dibawah pengaruh anestesia (ubat bius penenang). Adalah penting bagi Mommy dan Daddy untuk memastikan tahap kesihatan Si Comel adalah dalam keadaan terbaik sebelum melakukan pemandulan.Pemandulan bagi kucing jantan dilakukan dengan cara membuat pemotongan di kantung zakar seterusnya membuang kedua-dua testikel. Testikel merupakan kilang bagi penghasilan sperma kucing.
Manakala, bagi kucing betina, pembedahan yang akan dilakukan adalah sama ada membuang pembuangan ovari beserta uterus (ovariohysterectomy) atau ovari sahaja (ovariectomy). Bunyi agak seram tetapi Mommy dan Daddy jangan risau kerana pemandulan dilakukan oleh veterinar bertauliah dan berpengalaman ya!
Gambar 3.0 Antara prosedur pemandulan yang dilakukan oleh doktor veterinar
BILAKAH UMUR SESUAI UNTUK MEMANDULKAN KUCING?
Umur yang sesuai untuk memandulkan kucing adalah bermula 6 bulan dan keatas serta mempunyai berat melebihi 1 kilogram.
PENJAGAAN SELEPAS MANDUL
Setelah dimandulkan, kucing hendaklah diawasi pergerakannya. Seeloknya memakaikan kucing dengan e-collar bagi mengelakkan kawasan pembedahan dijilat. Asingkan kucing berasingan (cage rest) daripada kucing lain dan perhati jika terdapat sebarang perubahan tingkahlaku ataupun apa-apa kesan pada kawasan pembedahan.
Sekiranya kucing anda mengalami bengkak di kawasan pembedahan, disarankan untuk terus membawa semula kucing ke veterinar bagi pemeriksaan lanjut.
Semoga dengan perkongsian ini dapat membantu Mommy dan Daddy sedikit sebanyak dalam menguruskan Si Comel di rumah. Kalau Mommy dan Daddy masih lagi memerlukan informasi yang lebih mendalam, boleh terus hubungi kami di sini.
Salam Sayang,
Tuahvet
Hi,
Tuahvet is the best.
Premium services.
5 star rating
Recommended